Tun Dr Mahathir Mohamad menyaman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai defenden tunggal kerana telah memfitnahnya pada 2017.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sekali lagi menangguhkan perbicaraan saman fitnah isu ‘kutty’ yang sepatutnya bermula hari ini apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini.

Dr Mahathir menyaman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai defenden tunggal kerana telah memfitnahnya pada 2017.

Hari ini, di hadapan Pesuruhjaya Gan Techiong, peguam mewakili DrMahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan anak guamnya juga telah diberikan sijil sakit sehingga Sabtu ini kerana tidak sihat.

Peguam mewakili Ahmad Zahid, Shahrul Fuzli kemudian mencadangkan tarikh sekitar  Oktober namun dibantah oleh hakim dengan mengambil kira faktor usia bekas perdana menteri itu. 

“Kita boleh lapangkan tarikh kes lain bagi beri laluan kepada kes ini. Saya rasa Tun Mahathir adalah plaintif paling tua dalam mahkamah ini. Mahkamah tetapkan 19 Julai ini bagi perbicaraan,” katanya hari ini.

Difahamkan perbicaraan akan mengambil masa kira-kira empat hari, antara tarikh yang telah dicadangkan ialah 26 dan 27 Ogos, kemudian 29 dan 30 Ogos bagi sambung pendengaran.

Anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz akan menjadi antara saksi dalam kes ini.

Dr Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi Bersatu selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi di sini tahun lalu dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Tun Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Plaintif percaya, individu yang dirujuk dalam kenyataan fitnah iaitu ‘orang’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dalam pada masa sama, Ahmad Zahid juga memfailkan saman fitnah dengan mendakwa Dr Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Ahmad Zahid mendakwa, pemimpin veteran itu memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumah Dr Mahathir bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya. -MalaysiaGazette