PELABUHAN KLANG – Belum reda pengimportan lambakan sisa plastik tercemar di negara ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemukan hampir 35.2 tan skrap plastik daripada dua kontena di Pelabuhan Klang Barat, di sini, 2 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, skrap plastik yang bernilai RM70,000 itu dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Kesemua skrap plastik itu melibatkan duti import yang dianggarkan berjumlah RM21,000.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di sini pada 23 Julai lalu dan dagangan ini berasal dari benua Amerika,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini, hari ini.
Menurutnya, sindiket penyeledupan skrap plastik itu juga membuat pengikraran palsu di dalam dokumen manifest import sebagai HDPE Lump bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
“Kesemua kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.
“Pengimportan skrap plastik tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), mengikut Butiran 12, Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya lagi. – MalaysiaGazette