Sekor harimau belang maut selepas dilanggar tengah malam tadi di Kilometer 50.8 Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Kuala Lumpur pada bulan Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Lima ekor Harimau Malaya mati termasuk menjadi mangsa roadkill atau kematian di jalan raya oleh kenderaan dalam tempoh dua tahun sejak 2023 hingga tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak sembilan lagi ekora harimau ditangkap di kawasan konflik dengan manusia.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyifatkan insiden-insiden tersebut membimbangkan dan ia menunjukkan habitat Harimau Malaya terganggu hingga menyebabkan haiwan liar itu terpaksa keluar daripada habitat semula jadinya.

“NRES percaya kesepakatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam mengukuhkan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies ikonik negara Harimau Malaya seperti yang ditunjukkan hari ini akan menjadi pencetus untuk melaksanakan lebih banyak tindakan luar biasa.

“Langkah ini alah penting bagi mengukuhkan lagi agenda negara dalam memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat National Tiger Implementation Working Group (MyTWG) semalam yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mesyuarat itu dimaklumkan seluas 15,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu telah diwartakan di Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan melalui instrumen ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) yang menyumbang kepada pengukuhan pemuliharaan habitat Harimau Malaya di peringkat negeri.

NRES berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan pembangunan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (MTCAP) 2021-2030 bagi menangani krisis populasi Harimau Malaya serta menstabilkan populasi Harimau Malaya kepada 400 ekor menjelang tahun 2030.

“Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia akan melaporkan status pelaksanaan tindakan Pelan pada Mesyuarat MyTWG dan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF),” menurut kenyataan itu.

NRES menambah, sejak tahun 2021 sehingga Julai lalu, sejumlah 354 tangkapan warga tempatan dan 73 warga asing melibatkan sitaan berjumlah RM150 juta dicatatkan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) termasuk tangkapan empat warga Kemboja di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah pada 4 Jun lalu. – MalaysiaGazette