UTeM memenangi dua anugerah utama bagi kategori Permainan Digital dan kategori Filem Pendek di pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 2.0) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UniSZA.

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan bakat dan kreativiti dalam kandungan kreatif digital menobatkan dua pasukan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memenangi dua anugerah utama bagi kategori Permainan Digital dan kategori Filem Pendek di pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 2.0) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

DICE 2.0 merupakan pertandingan yang mencungkil bakat dan kemahiran keusahawanan melalui kandungan kreatif digital merangkumi kategori animasi, filem pendek, aplikasi interaktif media (AR/VR) dan aplikasi permainan digital.

Ia telah disertai seramai lebih 250 peserta yang terdiri daripada institut pendidikan tinggi awam dan swasta dari dalam dan luar negara menerusi penyertaan 50 projek kandungan kreatif seperti filem pendek, animasi, aplikasi interaktif media (AR/VR) dan aplikasi permainan digital.

Dengan kemenangan yang membanggakan ini, lapan orang mahasiswa dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) UTeM ini telah berjaya menerima pingat emas, wang tunai RM 5000 beserta piala bagi setiap kategori yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Peserta bagi kategori permainan digital adalah merupakan sekumpulan pelajar Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Permainan) yang terdiri daripada Muhammad Irham Roslan, Muhammad Izzuddin Abdullah, Ahmad Zhoreef Mohamed dan Luqman Hakeem Ahmad Nazri di bawah bimbingan mentor Ts. Dr. Muhammad Haziq Lim Abdullah.

Manakala peserta bagi kategori filem pendek pula adalah terdiri daripada Mohamad Erfan Fikrie Abdul Wahid dan Eizhan Armani Rohaimi, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian), Shauqeez Roszi Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dan Hanif Faisal Sulaiman, Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Permainan) di bawah mentor Ts. Muhammad Helmy Emran.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kemenangan ini merupakan kejayaan bermakna buat UTeM kerana ini merupakan pengikrafan tinggi daripada barisan panel juri profesional dalam industri ini.

“Dalam erti kata lain membuktikan mahasiswa UTeM berkeupayaan tinggi mendukung agenda keusahawanan kreatif dan digital menerusi pemanfaatan inovasi serta teknologi digital.

“Pengiktirafan para juri dari industri seperti FINAS, MDEC, KRU Studio, Cradle dan industri lain menzahirkan UTeM mempunyai kepakaran serta berupaya melahirkan pelajar yang kompeten dengan kemahiran teknikal dan projek kandungan kreatif pelajar ini boleh dikomersialkan,” ujarnya.

“Saya turut dimaklumkan projek Filem Pendek bertajuk Tunggang oleh pasukan UTeM ini yang dikenali sebagai Tuah Films telah berjaya memenangi hati para juri khususnya daripada pihak FINAS dan UTeM turut dijemput menerusi projek pelajar ini ke pertandingan berprestij yang menghargai penggiat-penggiat seni tanah air dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu di Festival Filem Malaysia (FFM)
akan datang,” katanya sewaktu mengulas tentang kejayaan UTeM ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif menyatakan UTeM aktif dan sentiasa menyokong dalam semua aktiviti dan juga pertandingan dalam membentuk kemenjadian para pelajar.

“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan dan menunjukkan bakat para pelajar UTeM dengan bimbingan para mentor berpengalaman membuktikan kita mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memupuk atribut serta semangat keusahawanan dalam bidang teknologi digital kreatif,” katanya. – MalaysiaGazette