KUALA LUMPUR – Tindakan UMNO yang akan meneruskan konsep perkongsian kuasa seperti diamalkan kini sebagai satu langkah tepat.
Ini kerana, tidak ada lagi parti dominan yang boleh membentuk kerajaan sendiri melainkan parti itu bergabung dengan parti-parti lain, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khaled.
“Saya fikir apa yang disebut oleh presiden itu tepat kerana tidak ada lagi soal you dominan parti dan kemudian tak boleh buat. Akhirnya ada perkongsian kuasa,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi yang menyatakan UMNO akan mengekalkan konsep perkongsian kuasa seperti yang diamalkan sehingga kini dalam memastikan kelangsungan parti itu mendepani perubahan landskap politik semasa.
Menurut Ahmad Zahid, sokongan hanya daripada ahli-ahli parti itu semata-mata tidak akan mampu memenangkan UMNO.
Sebaliknya, ujar beliau, yang menjadi penentu kepada kemenangan UMNO adalah pengundi di luar parti itu yang jauh lebih ramai jumlahnya serta lebih besar peratusannya.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, penegasan Presiden UMNO mengenai perkara itu adalah selepas beliau melihat perkongsian kuasa yang berlaku dimana-mana negara diseluruh dunia.
Katanya, parti-parti politik itu akan bertindak sedemikian sama ada sesuatu gabungan itu dibentuk sebelum ataupun selepas pilihan raya.
“Tetapi tetap kena kongsi kuasa dengan orang lain jika mahu berada dalam kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette