KUALA LUMPUR – UMNO wajar membuat pemilihan awal bagi mencari calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum-16 (PRU16).
Ini kerana, dalam situasi politik semasa, ‘sentuhan peribadi’ kepada penduduk setempat terlalu penting dan UMNO wajar menggunakan peluang itu.
Disebabkan itu, beberapa perwakilan yang ditemui berpendapat, pemilihan calon di peringkat awal adalah suatu persediaan yang boleh membantu parti ini terus kembali kepangkuan rakyat.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berpendapat, memilih calon lebih awal penting kerana lazimnya ia dapat mencorakkan suasana jentera untuk berdepan pilihan raya, sama ada akan bertambah semangat ataupun lesu.
Katanya, pemilihan awal adalah satu strategi yang sangat baik sebagaimana dilakukan oleh UMNO ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, baru-baru ini.
“Pemilihan awal salah satu strategi baik seperti di Nenggiri baru-baru ini, beri ruang kepada calon (Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani) turun seberapa banyak tempat yang boleh,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, pemilihan yang dibuat mestilah berdasarkan pemantauan rapi dengan melihat calon itu bukanlah individu yang memiliki imej tercalar.
Selain itu katanya, menerusi pemilihan awal calon yang dipilih boleh bersedia dari segi stamina.
“Biasalah kadang-kala ada masalah itu (stamina lemah) pada musim pilihan raya menyebabkan (calon) tak dapat santuni banyak tempat,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Jerantut, Datuk Rozilan Salleh pula berpendapat, memperkenalkan calon lebih awal dapat melancarkan persediaan.
Namun beliau berkata, parti perlu mempunyai rancangan lain sekiranya timbul masalah luar jangka.
“Macam PRK mungkin berbeza bila kita umum calon lebih awal dari biasa, tetapi PRU kena bergantung kepada kajian serta analisis,” tambahnya.
Pada Jun lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan parti itu mengenal pasti pemimpin yang boleh diangkat sebagai calon bagi PRU16.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan calon yang dicadangkan boleh mula menabur bakti dan mengenali pengundi di kawasan masing-masing dengan lebih baik.
Johari berpendapat, pendekatan itu boleh menjadi kaedah tapisan awal dalam memastikan calon dipilih adalah tepat dan betul-betul dikenali, serta diterima pengundi setempat. – MalaysiaGazette