Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu menggesa Dr Muhammad Akmal Salleh mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) jika mahu orang Melayu kembali dominan dalam landskap politik di negara ini.

Pengerusi Biro Kesihatan, Keluarga dan Alam Sekitarnya, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, orang Melayu dan UMNO boleh kembali mendominasi politik negara ini jika bersama Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan.

“Kenapa UMNO memilih untuk bersama PH untuk membentuk kerajaan, sedangkan UMNO sepatutnya memilih untuk bersama PN dan membentuk kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu.

“Cukup mudah sebenarnya untuk menyatukan orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika UMNO memilih bersama PN.

“Saya minta Dr Akmal mendesak Presiden UMNO supaya ikhlas dalam menyatukan seluruh orang Melayu dan parti-parti Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, media melaporkan Dr Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Akmal Saleh tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa dengan sekadar menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sebaliknya, Akmal berkata, UMNO perlu menguasai dua pertiga Dewan Rakyat dan kembali dominan dalam landskap politik seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara ini.

Menurut Dr Aleef, orang Melayu khususnya orang muda sudah muak dengan sikap pemimpin-pemimpin Melayu yang saling berpecah-belah dan bertelagah sesama sendiri.

“Cukup-cukuplah kita berpecah! Berpecah-belah ini menjadikan bangsa kita lemah.

“Kita perlu kembali melihat semula punca perpecahan ini, tidak lain dan tidak bukan kerana amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, perpecahan orang Melayu dapat dilihat antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana skandal 1MDB.

“Sekarang Najib Razak di penjara dan UMNO terpecah dua kepada UMNO dan Bersatu. Perpecahan ini membuatkan bangsa Melayu rugi dan lemah.

“Sudah tiba masanya, semua parti Melayu ini bersatu, tinggalkan sejarah lepas, belajar dari sejarah itu, jangan ulangi kesilapan tersebut dan bergerak ke hadapan dengan penyatuan seluruh orang Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast