KUALA LUMPUR – UMNO Kluang tidak mempunyai sebarang masalah berhubung siapa yang bakal dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Jais Sarday berkata, apa yang penting calon yang bakal ditonjolkan mestilah dalam kalangan pimpinan UMNO Bahagian sama ada diperingkat tertinggi ataupun sayap.
“Mungkin Wanita nakkan juga saya difahamkan begitu. Jadi, terserah kepada pucuk pimpinan asalkan dia di dalam pimpinan UMNO Bahagian,” katanya ketika ditemui di Laman Media Pusat Dagangan Dunis (WTC), di sini hari ini.
Jais ditanya wartawan mengenai permintaan perwakilan apabila mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada PRK berkenaan.
Semalam, ketika sesi penggulungan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh di Dewan Tun Hussein Onn, para perwakilan yang mengikuti ucapan Akmal bertempik menyebut-nyebut nama Hussein sebagai Cadangan supaya dia dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Mahkota yang akan berlangsung 28 September depan.
Syed Hussein yang pada mulanya duduk di bahagian tengah dewan kemudian bangkit dan terus pergi ke hadapan selepas Akmal memanggilnya.
Syed Hussein sebelum ini disebut-sebut sebagai antara lima nama yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi berkenaan susulan kekosongan yang berlaku selepas Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia kKetika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, pada 2 Ogos lepas.
Mengulas lanjut Jais berkata, kemenangan merupakan perkara paling penting kerana DUN Mahkota merupakan kubu kuat bagi UMNO.
Beliau turut berharap agar calon yang ditampilkan perlu membantu memperkukuhkan parti setelah menang dalam PRK tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Dun Mahkota adalah seramai 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi Dun Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Daripada 66,318 pengundi di Dun Mahkota, 52 peratus adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah. – MalaysiaGazette