Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya perjuangan parti untuk mendapatkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditentang oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pembelaan terhadap Najib telah digerakkan UMNO sejak bekas pemimpin itu diberikan hukuman penjara lagi.

“Najib itu adalah penzahiran pendirian UMNO yang tidak akan lupa akan jasa pemimpin-pemimpin lamanya dan UMNO tetap melihat bahawa Datuk Seri Najib tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Jadi atas sebab itu UMNO berpendirian supaya keadilan sebenarnya diberikan kepada Najib,” katanya kepada media selepas tamat ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Ditanya sama ada pendirian yang diambil UMNO itu bertentangan dengan Pakatan Harapan (PH), Khaled berkata, parti tunjang kepada masyarakat Melayu itu tidak boleh berdiam diri atas apa yang berlaku terhadap Najib biarpun parti itu bebeza pendapat.

“UMNO perlu terus membawa perkara-perkara yang menjadi pegangan keputusan kita, samalah seperti bila Presiden menyatakan ada prinsip-prinsip asas UMNO yang mana akan hanya bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima prinsip-prinsip asas pejuangan UMNO iaitu mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan raja-raja dan hak istimewa Orang Melayu.

“Jadi sesiapa yang bersedia menerima itu maka dia bolehlah bekerjasama dengan UMNO,” katanya lagi.

Awal hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 menerima 171 usul daripada keseluruhan 191 bahagian selepas semua 17,998 cawangan selesai bersidang.

Daripada 171 usul, sebanyak 72 daripadanya adalah berkisarkan menuntut keadilan dan pengampunan penuh buat Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast