KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang bermula pagi ini dimulakan dengan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan upacara menaikkan Sang Saka Bangsa.
Ahmad Zahid diiringi oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Ketika upacara menaikkan bendera dilakukan, para perwakilan yang turut serta dalam majlis itu menyanyikan lagu UMNO – Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
Turut bersama berada di atas pentas bersama Ahmad Zahid ketika bendera dinaikkan ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketiga-tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga hadir.
Upacara itu menandakan bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2024, dengan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selesai bersidang semalam.
Seramai kira 6,433 perwakilan menghadiri perhimpunan agung pada kali ini.
Di dalam Dewan Merdeka pula, perhimpunan yang berjalan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin.
Ia disusuli dengan bacaan doa oleh Datuk Jamil Khir Baharom dan pembentangan oleh Asyraf dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Bendahari UMNO.
Perhimpunan kemudiannya diteruskan dengan Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan oleh Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette