Ni Ching (tengah) melepaskan kira-kira 900 peserta dalam program Johor Jaya Run 2024 di pekarangan Dewan Raya Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – DAP akan membantu memenangkan calon UMNO yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada bulan depan.

Timbalan pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, ini kerana DUN Mahkota berada di bawah Parlimen Kluang yang disandang Wong Shu Qi iaitu wakil rakyat daripada DAP.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berharap, bantuan tersebut juga dapat melancarkan kempen PRK DUN Mahkota dalam usaha mengekalkan kerusi itu.

Namun, beliau berharap kempen PRK berkenaan tidak akan dicemari dengan isu-isu yang menyentuh berkenaan raja, agama dan kaum (3R).

“Setiap PRK dan pilihan raya umum (PRU) saya akan bagi nasihat yang sama (jangan mainkan isu 3R), saya ulang dan ulang lebih daripada satu kali.

“Sebelum menjadi ahli politik, kita jadi warga negara terlebih dahulu, jadi jagalah keharmonian masyarakat kita.

“Dalam bulan Ogos ini iaitu dalam bulan sambutan hari kebangsaan dan September ini pula sambutan Hari Malaysia, sila jaga keharmonian dalam masyarakat kita,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata demikian kepada pemberita sebelum melepaskan Johor Jaya Run 2024 di pekarangan Dewan Raya Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Jementah, Ng Kor Sim dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.

Polis sebelum ini memaklumkan menerima puluhan laporan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Muhyiddin kemudiannya dirakam percakapannya mengenai perkara itu dan beliau dilaporkan menyerahkan beberapa dokumen kepada polis termasuk akuan bersumpah (SD) yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.

Berkenaan Muhyiddin, Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata, pihaknya menyerahkan kepada peguam negara untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berhara perkara yang sama iaitu menyentuh isu 3R tidak akan dimainkan dalam PRK DUN Mahkota nanti. – MalaysiaGazette