Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kesediaan DAP untuk membantu calon UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota disambut baik parti tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, DAP akan diberikan segmen tertentu dalam siri kempen selama 14 hari PRK berkenaan.

“Oleh kerana terdapat 37 peratus daripada 66,000 pengundi DUN Mahkota itu terdiri daripada kaum Cina.

“Jadi kita menyantuni semua parti dalam kerajaan perpaduan supaya mobilisasikan jentera yang ada dan untuk itu ada segmen tertentu yang kita berikan kepada DAP dan ada segmen yang lain yang kita berikan kepada MCA,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke program Ekplorasi TVET sempena Perhimpuan Agung UMNO (PAU2024) di Dewan Tun Dr Ismail, Pudat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, komponen BN seperti MCA dan MIC akan turut diberikan segmen sama dalam menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu kempen PRK.

“Begitu juga terdapat lebih kurang 8,000 pengundi India jadi kita minta MIC untuk menggerakkan jentera mereka dan bekerjasama dengan kepimpinan dan juga ahli India di dalam PKR.

“Kita benar-benar akan lakukan pendekatan hibrid untuk pilihan raya kecil DUN Mahkota,” katanya lagi.

Sebelum ini, DAP Johor menerusi Teo Nie Ching berkata, parti itu akan membantu calon UMNO yang akan dicalonkan di PRK berkenaan.

Malah Nie Ching turut berkata, parti itu akan turut membantu rakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan sepanjang kempen PRK itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru.

Sharifah Azizah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi). – MalaysiaGazette