KUALA LUMPUR – Polis meminta pengunjung Masjid India agar mengurangkan pergerakan di kawasan itu sebagai langkah keselamatan ekoran insiden tanah jerlus yang mengakibatkan seorang pelancong wanita warga India Vijayaletchumi,48, tertimbus pada kedalaman lapan meter.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, walaupun kawasan itu disahkan selamat beliau meminta orang ramai yang berurusan supaya mengambil langkah selamat.
“ Orang ramai kalau boleh kurangkan pergerakan anda semua apabila datang ke Masjid India.
“Kita minta polis memperketatkan kawalan di sini.
“Walaupun selamat seperti disahkan bomba tetapi jangan ambil mudah dan ambil langkah berjaga-jaga serta kurangkan pergerakan anda di sini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian selepas hadir meninjau lagi tengah malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pasukan penyelamat menangguhkan pencarian mangsa jam 12.30 malam tadi ekoran cuaca hujan dan keadaan sudah lewat malam.
Pencarian akan disambung semula jam 9 pagi hari ini.
“Kita akan masuk setiap lubang saluran kumbahan satu persatu yang mana jaraknya sejauh tujuh kilometer yang berakhir di Pantai Dalam dan pencarian mungkin boleh ambil masa sehingga tujuh jam.
“Indah Water Konsortium juga akan berada di tempat berkenaan dan bukan senang untuk masuk dalam itu kerana perlu melihat satu persatu.
“Ya selain cabaran arus deras, ada juga gas dan air kumbahan yang bahaya kepada anggota skuba jadi carian perlu dikendalikan dengan berhati-hati dam saluran itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd Narendran Maniam berkata pihaknya akan membantu pasukan penyelamat membuka lurang (manhole) panel pembentungan sehingga ke paip pembentungan terowong yang menghala ke loji rawatan air kumbahan Pantai Dalam.
“ Jarak paip kumbahan itu adalah lebih kurang tujuh kilometer dari lokasi kejadian ke IWK Pantai Dalam.,” jelasnya lagi- MalaysiaGazette