KUALA LUMPUR – Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid sebak mengenangkan nasib yang dialami bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini berada di sebalik tirai besi.
Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024), berkata, Dewan Merdeka menggamit kerinduan kepada Najib.
“Kesungguhan presiden UMNO kita yang terdahulu, bossku Datuk Seri Najib Razak telah membawa negara ke mercu kecemerlangan dengan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan rakyat dan seluruh ahli UMNO.
“Benar kita amat merindui zaman bossku. Kita amat merindui ‘sentuhan’ bossku. Apabila berada di dalam Dewan Merdeka ini, setiap kali Perhimpuan Agung UMNO, aura dan kehadiran bossku masih ada dan terasa,” katanya.
Nurulhidayah berkata, di setiap bahagian yang dihadirinya sebagai perasmi, beliau mendengar usul daripada perwakilaan wanita agar Najib diberikan keadilan dengan sebaik-baiknya.
“Semoga ada sinar buat bossku, dan saya secara peribadi menyokong usul para perwakilan wanita agar kepimpinan tertinggi Umno dapat terus menegakkan keadilan buat bossku tanpa gagal dan jangan pernah putus usaha serta daya buat seorang pemimpin yang pernah bersama-sama kita dalam susah dan senang,” ujarnya.
Sementara itu, Nurulhidayah turut menyentuh mengenai kepimpinan UMNO khususnya Ahmad Zahid yang terus menjadi sasaran serangan daripada pihak-pihak tertentu.
Katanya, sebagai seorang anak dia menyaksikan sendiri bagaimana perit jerih ayahnya dalam usaha mempertahankan UMNO dan memastikannya kekal relevan.
“Terkini, masih lagi berlangsung kejadian kepimpinan UMNO dipersalahkan, di cari kesalahan, terutamanya YAB presiden sering diserang bertubi-tubi dari luar dan dalam.
“Beliau dihina, dimaki, dihamun, malah diberi panggilan dan gelaran yang tidak baik dengan niat untuk membunuh karektor seorang yang bergelar presiden UMNO.
“Bukan faktor kerana Zahid Hamidi Presiden UMNO, tetapi kerana kita juga merasa bertanggungjawab untuk bersama-sama ahli UMNO dan para perwakilan sekalian memperjuangkan nasib agama dan bangsa dalam parti keramat UMNO, parti yang kita cintai ini,” katanya. – MalaysiaGazette