Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) untuk seluruh negara termasuk di Johor akan dibincangkan dan diputuskan semula oleh badan tertinggi gabungan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, PRU-16 adalah pilihan raya umum pertama yang akan ditandingi oleh parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, agihan kerusi perlu dikaji kembali demi menjamin kemenangan yang menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata, mesyuarat Amanah telah mencapai kesepakatan bahawa parti penyandang Barisan Nasional (BN) akan diberi laluan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Selaras dengan pelantikan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Dun Mahkota, Amanah akan menggerakkan seluruh kekuatan jentera pilihan raya bagi membantu calon BN mewakili gabungan Perpaduan mempertahankan kerusi DUN Mahkota dalam PRK ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi DUN Mahkota itu sebagai gelojoh dan tamak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor. – MalaysiaGazette