Anggota bomba dan APM giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang merupakan seorang pelancong warga India terjatuh akibat tanah jerlus pagi tadi di Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India mangsa insiden tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, akan disambung pagi ini.

Bagaimanapun sehingga pukul 10.30 pagi, operasi SAR masih belum bermula dan difahamkan agensi terlibat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium masih berbincang bagi menentukan lokasi pencarian.

Turut berada di lokasi pagi ini Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Pengamal media juga berada di lokasi kejadian sejak 8 pagi bagi membuat liputan pencarian yang memasuki hari kedua.

Pemerhatian Bernama mendapati premis perniagaan berdekatan lokasi tidak ditutup dengan garisan kuning polis dan beroperasi seperti biasa seawal 8 pagi.

Semalam, media melaporkan mangsa merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada 8.22 pagi itu.

Rusdi berkata operasi SAR terpaksa ditangguhkan sementara pada 12.30 tengah malam tadi dan akan disambung semula 9 pagi ini ekoran hujan lebat selain persekitaran gelap yang menyukarkan pencarian. –  Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast