Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media sempena PAU 2024 ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mahu mengambil pendekatan untuk mengherdik pihak lawan yang menggelarkan partinya ‘lebih dajal daripada dajal’.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, UMNO tidak mahu berbuat demikian bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bertambah besar.

“Kami pun boleh panggil seseorang itu dajal tapi kami tidak sebegitu kerana kita tidak mahu perpecahan di kalangan rakyat Malaysia khususnya kaum melayu bertambah lagi.

“Jadi saya mengambil sikap orang nak kata apa pun, katalah. Pahala Allah yang kirimkan kemudian,” katanya ketika mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Terdahulu, Mohamad mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Diminta mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun enggan terus memberikan komen terhadap kenyataan Abdul Hadi.

“Tidak apalah, dia punya penafsiran Al-Quran dia begitu, biarlah. Saya tidak dapat nak sanggah sebab saya tidak sealim beliau,” katanya lagi.

Semalam, Abdul Hadi Awang berkata UMNO yang rosak bersama Pakatan Harapan (PH) meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada dajal.

Menurutnya, mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokong dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi.

Abdul Hadi turut mendakwa, politik dajal turut digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri. – MalaysiaGazette