Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai ‘lebih dajal daripada dajal’ boleh mengulangi siri pertembungan tajam antara Pas dan UMNO.

Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUU) berkata, tuduhan tersebut akan mengulangi siri pertembungan kedua-dua parti seperti awal tahun 80-an yang telah merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun.

Katanya, politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baru masyarakat Malaysia.

“Umum umat Islam mengenali susuk dajal menerusi hadis-hadis Rasulullah sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia dan menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa alaihissalam di akhir zaman sebelum Qiamat.

“Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat dalam arena demokrasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

MUU mengajak semua pihak khususnya para alim ulama menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi Malaysia dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11.

Dalam hantaran di Facebook, Abdul Hadi mendakwa UMNO yang rosak bersama Pakatan Harapan (PH) meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada dajal.

Menurutnya, mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokong dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi.

“Sedangkan mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat, termasuk pembangkang. Maka, terbukti mereka lebih daripada dajal yang tidak memungut cukai,” katanya.

Abdul Hadi turut mendakwa, politik dajal turut digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Betapa politik dajal menjadi senjata lama yang merosakkan UMNO terus digunakan lagi dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah.

“Kini, mereka berkeliaran dalam PH yang menjadi kerajaan berkuasa dan dijadikan tempat pergantungan makhluk perosak sepanjang zaman,” katanya.

Abdul Hadi berkata, dua sifat yang ada pada dajal iaitu pembohong dan menggoda dengan kesenangan hidup dunia tanpa sempadan.

Kedua-dua ciri tersebut menurut Abdul Hadi telah merosakkan perjuangan asal UMNO demi agama, bangsa dan tanah airnya, sehingga menyebabkan ramai kepimpinannya telah meninggalkan UMNO.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Abdul Hadi beliau sendiri pum selalu bercakap yang tidak mengikut seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad saw.
    Tuduhan yang menyebabkan umat Islam di Malaysia berpecah belah kerana tulisan serta pertuturan beliau menambah lagi kekusutan..
    Harap pihak berkuasa ambil tindakan sebelum menimbul permasalahan dalam rakyat Malaysia..

    Jauhi Ulama su’

Comments are closed.