Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas melawat tapak pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggelarkan parti itu ‘lebih dajal daripada dajal’.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan itu seperti perumpamaan paku dulang, paku serpih, yang menggambarkan parti itu yang lebih dajal daripada dajal.

“Yang dajal itu adalah mereka,” katanya ringkas.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas pertanyaan media tentang kenyataan Abdul Hadi yang menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai ‘lebih dajal daripada dajal’.

Dalam hantaran di Facebook, Abdul Hadi mendakwa UMNO yang rosak bersama Pakatan Harapan (PH) meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada dajal.

Menurutnya, mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokong dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi.

Abdul Hadi turut mendakwa, politik dajal turut digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Awal hari ini, Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUU) mengeluakran kenyataan bahawa tuduhan tersebut akan mengulangi siri pertembungan kedua-dua parti seperti awal tahun 80-an yang telah merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun. – MalaysiaGazette