KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz perlu turun jika ada sebarang pelancaran melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) di Kedah.
Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar berkata, kehadiran Tengku Zafrul penting supaya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mengambil peluang untuk menonjolkan diri.
“Saya nak beritahu sikit kepada Datuk Seri Zafrul, kalau pelaburan masuk di negeri Kedah ini bila nak buat pelancaran, majlis perasmian menteri dari MITI mesti turun bersama-sama lebih baik dan bagus untuk milage politik kita.
“Sebab taklah nampak Menteri Besar Kedah seorang di situ dan dia claim milage untuk dia dan kerajaannya sahaja. Sedangkan setiap pelaburan yang masuk dalam negara kita mesti daripada MIDA, jadi MIDA mesti ke depan.
“Ini bererti bukan sahaja kerajaan negeri tetapi juga kerajaan pusat juga bertanggungjawab memastikan kemasukan pelaburan ke Kedah,” kata Aminuddin.
Beliau berkata demikikan pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024.
Aminuddin mendakwa, Muhammad Sanusi seolah-olah mendabik dada kemasukan FDI ke negeri itu sebagai hasil usahanya termasuk peningkatan pelaburan syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG di nengeri itu.
Beliau yang mewakili Kedah berkata, pelaburan Infineon serta pembinaan Taman Perindustrian Tinggi Kulim dimulakan oleh menteri besar dari UMNO Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan diteruskan oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid. – MalaysiaGazette