KD Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi setelah mengalami kebocoran Ahad lepas

KUALA LUMPUR- Kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di tenggara, Tanjung Penyusop, Johor jam 3.54 petang tadi.

TLDM dalam kenyataan terkini malam ini memaklumkan, usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.

“Usaha pantas komuniti maritim telah berjaya menyelamatkan kesemua kru KD PENDEKAR seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan. Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD SULTAN ISMAIL, Tanjung Pengelih, Johor,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran.

TLDM juga menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah.

Perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi.

Terdahulu, TLDM mengesahkan kapal KD Pendekar mengalami kebocoran dan banjir besar ketika sedang melaksanakan penugasan operasi jam 12 tengahari tadi.

Kebocoran dipercayai disebabkan kapal tersebut terlanggar objek tajam.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KD Pendekar bocor dan banjir, semua kru selamat