KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk Kerajaan Malaysia mempertimbangkan cadangan membawa lebih ramai lagi rakyat Palestin yang cedera akibat serangan berterusan rejim zionis Israel ke negara ini untuk diberikan rawatan perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini, fokus kerajaan adalah untuk memastikan 41 rakyat Palestin sedia ada diberikan rawatan sebaik mungkin dan dihantar semula ke negara setelah mereka pulih.
“Setakat ini, tidak ada perkembangan (bawa lagi rakyat Palestin) sebab kita bagi tahu perkara pertama berubat, sudah baik, kita akan dihantar balik bila dalam keadaan baik, tenang dan aman sekejap.
“Setakat ini kita nak rawat nak bagi mereka sihat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini,
Terdahulu beliau merasmikan Muktamar Masjid SeMalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan pagi tadi.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang.
Ketibaan mereka dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Anwar bagaimanapun berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membawa lebih ramai rakyat Palestin yang cedera ke negara ini jika ada keperluan.
“Kita runding dengan Mesir yang telah menampung (rakyat Palestin), Saudi, Turkiye dan Qatar.
“Jadi kita tengok kalau ada keperluan kita boleh bincang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette