Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Ucaptama dan perasmian muktamar Masjid Semalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Sikap tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan sesetengah pihak yang berasa kurang senang dengan kehadiran rakyat Palestin di negara ini tidak layak menjadi rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap negatif seperti itu tidak boleh dibiarkan kelak dibimbangi boleh membarah dan merosakkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Di mana kemanusiaan ini, sehinggakan sentimen kaum atau wilayah menyebabkan sikap begini. Orang sebegini tidak layak menjadi seorang rakyat yang faham dengan jiwa nurani manusia.

“Mujurlah suara ini suara kerdil tapi jangan kita izinkan berterusan, kelak ia membiak kerana bibit-bibit itu jika diizinkan akan menjadi barah termasuk suara ini,” katanya berucap merasmikan Muktamar Masjid SeMalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri berkongsi pengalamannya ketika menghadiri satu majlis berkaitan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 di Kuching, Sarawak semalam.

Ketika dalam majlis itu, Perdana Menteri disantuni seorang individu bukan politik yang berasa kurang senang dengan kehadiran rakyat Palestin di negara ini.

“Dia kata kononnya kalau bawa rakyat Palestin (ke Malaysia), jangan jejak ke bumi Sarawak,” katanya.

Perdana Menteri turut menyifatkan sikap individu tersebut sebagai biadab kerana tidak mempunyai sikap kemanusiaan.

“Itu pandangan yang paling biadab, tiada ada tahu erti kemanusiaan. Apakah dia anak Afrika Selatan masa aparteid, Ruwanda antara kaum, itu semua kita suarakan Palestin.

“Adakah itu anak Cina yang dipukul atau Melayu yang sengsara atau ibu India yang jatuh lubang tiga hari yang lalu. Itu semua menyentuh hati nurani kita, ada perasaan kita dan kita cuba selesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast