Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ketika melawat tapak operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa warga India yang terjatuh akibat mendapan tanah yang berlaku di Masjid India, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pencarian semula di lurang kumbahan 5 dan 6 Indah Water Konsortium di ibu negara hari ini masih gagal menemukan mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, pagi Jumaat lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, kerja pencarian itu dilaksanakan di lurang kumbahan yang terletak berdekatan dengan Agro Bank dan lurang 6 berdekatan Bulatan Kinabalu di ibu negara.

Terdahulu di dalam kenyataan medianya, Maimumah memaklumkan, IWK terpaksa mengepam keluar air kumbahan Loji Pantai Dalam bagi membolehkan pasukan bomba menjalankan kerja mencari mangsa.

https://malaysiagazette.com/2024/08/25/tanah-jerlus-iwk-pam-loji-pantai-dalam/

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, beliau telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi-agensi yang terlibat dalam operasi SAR di Masjid India sebentar tadi

“Hasilnya kita sudah membuat ketetapan untuk meneruskan pencarian ini sehingga dapat menemui mangsa.

“Kita tidak menetapkan sejauh mana pencarian ini akan diteruskan, namun kita akan meneruskan SAR ini sehingga mangsa ditemukan semula.

“Pada masa yang sama, PDRM juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi India bagi melanjutkan visa,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Rohizan Anwar Mamat berkata, sejak semalam pihaknya selesai menjalankan pencarian di kesemua lurang pertama hingga lurang keenam.

Tambah beliau, pihaknya mendapati ada arus perlahan di lurang kumbahan lima dan enam yang mungkin terdapat serpihan sampah.

“Ia memaksa kita melakukan pencarian semula di lurang kumbahan 5 dan enam untuk memastikan tiada apa yang tersangkut namun tidak menemukan apa-apa,” katanya.-MalaysiaGazette