Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di WTCKL. Foto SADIQ SANI, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menghargai perhatian presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju supaya usul berkaitan had umur 40 tahun keahlian sayap parti tersebut dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, keputusan itu amat bermakna untuk Puteri meneruskan legasi kepimpinan serta membantu gerak kerja pilihan raya dalam kalangan wanita di bawah 40 tahun.

Usul itu bukan sahaja penting untuk memastikan kelangsungan sayap Puteri, tetapi juga untuk memperkasakan wanita muda dalam arena politik tanah air.

“Dengan sokongan dan dokongan yang diberikan oleh Presiden UMNO, kami yakin Puteri UMNO akan terus maju dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Legasi kepimpinan Puteri UMNO adalah satu warisan yang amat berharga.

“Ia bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan ketabahan wanita muda dalam politik, tetapi juga komitmen kita untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang berwibawa,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Tambah Nurul Amal, had umur baharu itu kelak dapat memastikan lebih ramai wanita muda berpeluang menyumbang dan memimpin, seterusnya memperkukuhkan lagi kedudukan UMNO di persada politik negara.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 semalam, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat MKT untuk diteliti dan diputuskan.

Usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara utama yang dibahaskan perwakilan Puteri UMNO pada PAU 2024 kali ini yang berharap ia diluluskan segera.

Usul itu disifatkan mendesak bagi memastikan kelangsungan kepimpinan Puteri UMNO memandangkan sebahagian besar iaitu kira-kira 80 peratus daripada pemimpin sayap tersebut hari ini akan meninggalkan Puteri UMNO walau hanya sempat memimpin selama sepenggal.

Ketika ini juga, seramai 153 Ketua-ketua Puteri UMNO Bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun sekali gus akan menyebabkan Puteri UMNO kehilangan pemimpin sekiranya had umur tidak dilanjutkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast