ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengandungi tuduhan jahat terhadap pengarah pelajaran negeri itu.
Ia berhubung dakwaan tiada bekerjasama dibenarkan bersama kepimpinan negeri bagi melaksanakan program di sekolah.
Pengarah Biro Komunikasi Amanah Kedah, Firdaus Shater berkata, dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin negeri.
“Sebagai Menteri Besar, beliau seharusnya menjadi contoh teladan dan mengamalkan sikap hormat-menghormati dalam kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan.
“Tuduhan yang dilontarkan tanpa bukti yang kukuh hanya akan menimbulkan ketegangan dan merosakkan imej dan nama baik pegawai kerajaan.
“Malah, kita yakin sebarang tindakan diambil oleh pegawai kerajaan di Kementerian Pendidikan adalah tertakluk kepada Pekeliling Ikhtisas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Firdaus turut menyelar tindakan Muhamamd Sanusi yang mengaitkan nama parti Amanah dengan niat untuk memberikan pandangan negatif kepada masyarakat.
“Kita ingin menegaskan kami tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti parti.
“Sehubungan itu, kita menyeru agar Menteri Besar Kedah mengambil langkah bijak dengan menyelesaikan sebarang isu yang timbul melalui saluran yang tepat tanpa menjatuhkan kredibiliti penjawat awam yang sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Sikap profesional dan bertanggungjawab amat diperlukan dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin rakyat,” katanya.
Media hari ini melaporkan Muhammad Sanusi melahirkan rasa kecewa apabila Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah tidak dibenar bekerjasama bersama kepimpinan negeri bagi melaksanakan program di sekolah.
Katanya, sebagai pemimpin, pihaknya tidak pernah terdetik untuk berpolitik dalam sektor pendidikan kerana bidang itu perlu bebas daripada elemen dan propaganda politik kepartian.
“Sikap seperti itu tak boleh dibuat di negeri ini, Kedah tak benarkan buat propaganda politik guna jabatan, saya harap rakaman ini didengar di seluruh negara, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perlu ambil perhatian.
“Kita memegang amanah orang ramai dan perlu kembalikan amanah itu kepada mereka, bukan kaut sebanyak mungkin keuntungan daripada sikap menindas dan berlaku tidak adil,” katanya pada sesi ucapan penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman hari ini. – MalaysiaGazette