KUALA LUMPUR – Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon semakan kehakiman dalam percubaan membatalkan penilaian pihak berkuasa bahawa dia berhutang lebih RM313 juta kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam permohonan itu, Na’imah mendakwa taksiran LHDN untuk 2018 adalah tidak berasas dengan tambahan RM700 juta dalam pendapatan yang tidak diisytiharkan.
Dakwa Na’imah dalam notisnya, LHDN hanya mengeluarkan notis itu pada 13 Ogos lepas namun ia didakwa tidak berasas dan berniat jahat ke atasnya.
“Taksiran-taksiran tersebut telah secara arbitrari mewujudkan liabiliti cukai yang besar berjumlah RM313,820,336.13 sedangkan pada asalnya, tindakan responden dalam mengeluarkan taksiran yang dipertikaikan itu adalah haram.
“Jumlah cukai dalam taksiran tersebut dikenakan ke atas saya secara salah dan jumlah tersebut adalah besar serta membebankan saya,” katanya.
Pengurusan kes di mahkamah tinggi telah ditetapkan pada 3 September depan.
Difahamkan, firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership mewakili Na’imah semakan kehakiman ini.
Pada awal tahun ini, Na’imah dan suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini kerana gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Disember 2023.
Antara harta itu ialah Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail. -MalaysiaGazette