Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap ketika sidang media berkenaan Pemberian Kuasa Kepada PUSPAKOM untuk Menjalankan Fungsi Pemeriksaan Kenderaan Motor di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 26 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak sewajarnya menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat dalam isu teknikal yang dihadapi Malaysia Airlines (MAS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lebih malang tindakan itu tidak membantu meredakan keadaan, apatah lagi meragui tahap profesionalisme syarikat penerbangan nasional itu.

“Malangnya bekas Menteri (Pengangkutan) sendiri menimbulkan (panik) perkara itu dengan mempersoalkan profesionalisme Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan MAS.

“Bagi saya, tiada keraguan terhadap profesionalisme MAG walaupun satu unit.

“Saya sentiasa percaya dengan profesionalisme mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penerbangan MAS menuju ke Madinah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) 22 Ogos lalu

Menurut data FlightRadar, MH152 yang berlepas dari KLIA pada 2.23 petang, berpatah balik semasa terbang di atas Kepulauan Nicobar di Laut Andaman.

Sehari sebelum itu, penerbangan MAS MH386 terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana masalah tekanan kabin.

Pada 20 Ogos pula, penerbangan MH128 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Melbourne terpaksa membuat pendaratan cemasdi Alice Springs di Wilayah Utara Australia.

Menurut Loke, beliau tidak meragui keupayaan MAG, malah syarikat penerbangan nasional itu akan melakukan sedaya upaya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang terjamin.

“Faktor ini adalah satu keutamaan utama MAG dan MAS. Sudah pasti mereka menyedari kebimbangan awam itu, namun kita tak perlu mainkan lagi.

“Sebab itu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah melakukan siasatan segera.

“Bukan sebab bekas Menteri panggil, baru kita buat siasatan,” katanya.

Katanya lagi, tindakan Ka Siong dengan mengatakan insiden ini menyebabkan berlaku krisis keyakinan orang ramai sebenarnya tidak membantu mengawal keadaan, bahkan menambah keresahan.

“Kebimbangan itu memang ada, tapi saya yakin MAG akan membuat segala-galanya untuk memastikan keselamatan dan keyakinan penumpang itu dikekalkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast