Dadah disyaki syabu bernilai lebih RM1 juta yang dirampas polis Pulau Pinang dalam tiga serbuan pada minggu lalu.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah ke negara jiran yang didalangi warga asing dengan rampasan bernilai lebih RM1 juta pada 20 dan 22 Ogos lalu.

Serbuan di tiga lokasi sekitar Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Kuala Muda, Kedah itu membawa kepada tangkapan lima suspek termasuk seorang warga tempatan berusia 23 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 30 bungkusan plastik warna keemasan bertulis ‘Guanyinwang Refined Chinese Tea’ disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 31.4 kilogram bernilai RM1.03 juta dalam kenderaan milik salah seorang suspek.

Modus operandi sindiket adalah mengambil upah menghantar syabu daripada pengedar tempatan untuk pasaran negara jiran menerusi jalan laut.

Antara kenderaan milik suspek yang disita pihak polis.

“Sindiket berkenaan didapati bergiat aktif di sekitar Kedah dan Pulau Pinang dan risikan mendapati mereka aktif sejak Januari lalu.

“Turut disita dalam serbuan itu, sebuah motosikal, sebuah van, dua buah kereta serta wang tunai yang mana secara keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.67 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, sindiket menerima upah RM5,000 bagi setiap penghantaran dadah ke negara jiran menerusi laluan laut.

Tambah Hamzah, hasil ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

​Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 150,000 penagih dadah atau sebanyak 150,000 kali penggunaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast