PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak berhasrat untuk meneruskan pemberian konsesi kepada Puspakom sebagai entiti tunggal dalam penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor di negara ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perjanjian kedua-dua pihak yang akan tamat masing-masing pada 27 dan 31 Ogos ini tidak akan diperbaharui sekali gus menamatkan monopoli dan hak eksklusif entiti itu sejak ditubuhkan pada 1994.
“Susulan keputusan itu, kerajaan juga akan membenarkan pihak-pihak berkelayakan dan kompeten lain untuk memohon melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan bermotor.
“Ia tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Oleh yang demikian, perjanjian konsesi dengan pihak Puspakom tidak akan diteruskan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang mana tiada lagi monopoli Puspakom sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.
Antara skop tugas terlibat termasuk pemeriksaan awalan dan pemeriksaan berkala melibatkan kenderaan perdagangan serta pemeriksaan tukar milik yang mana diwajibkan di bawah Akta 333.
Menurut Loke, dengan berakhirnya konsesi itu, pemberian kuasa perkhidmatan sama kini terbuka kepada mana-mana pihak berkelayakan yang bakal diluluskan, tertakluk di bawah Seksyen 126 (1) Akta 333.
“Setakat ini, sambutan daripada industri untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di bawah Akta 333 adalah sangat positif.
“Kementerian Pengangkutan akan menilai semua permohonan dan mengumumkan pemain-pemain baharu yang berjaya dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan menjemput mana-mana pihak yang berkelayakan dan kompeten untuk memohon pemberian kuasa bagi melaksana dan menyediakan perkhidmatan yang sama di negara ini.
“Garis permohonan permberian kuasa akan lesen bagi tujuan tersebut masih boleh diperolehi dari laman web MOT atau JPJ.
“Tarikh tutup bagi mengemukakan permohonan adalah pada 31 Oktober 2024,” katanya.
Katanya lagi, JPJ akan terus mengawal selia dan memantau penyedia perkhidmatan serta pengoperasian pemeriksaan kenderaan motor supaya teratur, mematuhi standard serta peraturan yang telah ditetapkan.
“JPJ akan memastikan supaya perkhidmatan (pemain baharu) yang diberikan berkualiti untuk pelanggan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette