KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India berusia 48 tahun yang hilang akibat terjatuh dalam tanah jerlus di Masjid India, di sini, telah memasuki hari keempat hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pasukan SAR telah membuka satu lurang kumbahan berdekatan Wisma Yakin, sekitar jam 9.45 pagi tadi pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
Antara anggota yang terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) temasuk pekerja Indah Water Konsortium (IWK).
Sebuah lori milik IWK turut berada di lokasi terbabit, dipercayai bagi mengepam keluar air kumbahan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman juga berada di lokasi kejadian untuk memantau perkembangan operasi SAR.
Beliau berkata, perkembangan operasi SAR hari ini akan dimaklumkan dalam sidang media kelak.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, sebanyak dua kali teknik ‘flushing’ telah dilaksanakan bagi mencari mangsa.
Tambah kenyataan itu, pasukan IWK telah memulakan ‘flushing’ di lurang kumbahan lima yang terletak berdekatan Agro Bank (Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar) dan mengambil masa sehingga jam 2 pagi tadi.
Teknik ‘flushing’ bertujuan menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah ia melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.
Sebanyak enam lurang kumbahan terlibat dalam operasi pencarian adalah di Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta Bulatan Kinabalu.
Sejak Jumaat lalu, operasi SAR mengesan wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter masih diteruskan dan sehingga semalam, mangsa masih belum ditemui. – MalaysiaGazette