KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mahu siasatan melibatkan insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tenggelam di perairan Tenggara Tanjung Penyusop, Johor semalam, dijalankan dengan telus.
Selain itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri berkata, hasil siasatan tersebut juga perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ini kerana, tambah Mohd. Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, KD Pendekar sudah berkhidmat lebih 40 tahun dan perihal pengurusan kapal TLDM juga banyak disentuh dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) lalu.
“LKAN juga mendapati lebih separuh kapal TLDM melebihi usia guna dan kebanyakannya telah digunakan secara high-tempo,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, seramai 39 kru KD Pendekar Tentera TLDM berhadapan detik cemas apabila sebahagian besar kapal itu tenggelam selepas mengalami kebocoran.
Markas TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian yang berlaku ketika penugasan operasi itu dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek di bawah air.
Dalam pada itu, Mohd. Hafez turut menggesa supaya aset dan kemampanan TLDM diberi perhatian oleh kerajaan.
Ujar beliau, ia mengambil kira situasi Selat Melaka yang merupakan laluan utama kapal-kapal dagang dunia yang kian sesak selain krisis tuntutan perairan di Laut Cina Selatan masih tidak berkesudahan.
Lebih malang, tambahnya, pelaksanaan Program Tranformasi 15-to-5 TLDM sehingga kini masih berlaku kelewatan kerana skandal yang membelenggu projek kapal tempur pesisir (LCS).
“Justeru, Pemuda Pas menggesa kerajaan memberi penekanan lebih dalam Program Tranformasi 15-to-5, selain menyediakan laporan telus dalam skandal LCS.
“Selain itu, Pemuda Pas menyarankan agar kapal-kapal TLDM melebihi usia guna yang sedang beroperasi dan berkhidmat membuat pemeriksaan dalam kadar segera dan menyerahkan kepada kebijaksanaan TLDM bagi memastikan pengawasan keselamatan perairan negara tidak terjejas sepanjang ‘pengawal negara’ diselenggara,” katanya. – MalaysiaGazette