Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini hari ini.

Difahamkan mesyuarat berkenaan dihadiri semua 26 ketua UMNO bahagian dari negeri ini pada pukul 4.30 petang bagi membincangkan perincian PRK DUN Mahkota termasuk calon daripada parti tersebut yang bertanding nanti.

Selepas itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan bertemu kumpulan kedua yang membabitkan Kerajaan Perpaduan di Johor pada lewat petang atau sebelah malam.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri itu tiba di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana pukul 4.25 petang.

Sebelum itu kenderaan membawa Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday, dilihat memasuki kediaman berkenaan pukul 3.45 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Hari ini, UMNO dan BN dilaporkan akan mengumumkan nama calon yang bakal bertanding pada PRK DUN Mahkota pada 7 September ini, selepas mendapat persetujuan daripada semua pihak.

Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota BN, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, bagaimanapun apa juga kenyataan rasmi berkaitan PRK berkenaan hanya boleh dikeluarkan setelah selesainya dua mesyuarat pada hari ini.- MalaysiaGazette