Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,748 graduan daripada 20 bidang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 yang
berlangsung dari 26 – 30 Ogos ini.

Para graduan berkenaan telah menamatkan pengajian pada Sesi 2 2022/2023, Sesi 1 2023/2024 dan program Ijazah Sarjana Muda Sesi 1 2022/2023 melibatkan 1,671 orang di peringkat diploma, 63 orang untuk penerima di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 14 orang penerima sijil
kemahiran khas.

Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar Ke-52 disempurnakan oleh Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Negeri
Perak.

Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 merupakan manifestasi kejayaan para graduan menamatkan pengajian masing-masing bersama-sama ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai serta para pensyarah yang tidak mengenal erti jemu mendidik dan mendoakan kejayaan para graduan.

Politeknik Ungku Omar yang telah ditubuhkan sejak 2 Jun 1969, merupakan politeknik pertama ditubuhkan di Malaysia untuk melatih tenaga kerja di Malaysia dalam bidang teknikal dan vokasional.

Sehingga Ogos 2024, PUO telah melahirkan 88,567 graduan TVET dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional.

Sebagai sebuah Politeknik Premier, PUO bertanggungjawab untuk memenuhi aspirasi negara dalam menghasilkan graduan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika di samping mempunyai pengetahuan dan kemahiran berteraskan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional yang tinggi.

PUO melakarkan kejayaan tersendiri pada tahun 2024 apabila telah berjaya menawarkan tiga program baharu Ijazah Sarjana Muda bagi ambilan September 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Marin, Sarjana Muda Teknologi Senibina dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik.

Pada tahun ini, Diploma Anumerta (posthumous) dianugerahkan kepada waris Gemulah Ahmad Hirfan Shahrir, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang telah meninggal dunia pada 4 April 2024 akibat penyakit kanser synovial sarcoma (ketumbuhan di dalam paru-paru). Arwah turut cemerlang dalam bidang akademik sepanjang pengajian beliau.

Buat pertama kalinya, Anugerah Ungku Omar, anugerah paling berprestij diberikan kepada hanya seorang graduan yang mempunyai kriteria tersendiri iaitu seimbang dari sudut akademik dan kokurikulum serta aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, berkepemimpinan dan berinovasi.

Muhammad Amir Md Jazi, graduan program Diploma Kejuruteraan Mekatronik telah diangkat sebagai penerima Anugerah Ungku Omar bagi tahun 2024.

Saarani turut memberikan Anugerah Khas Industri Menteri Besar Perak kepada lima orang penerima. – MalaysiaGazette