Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.- FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin wajar meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin sewajarnya mengambil langkah tersebut kerana beliau kini dibebani dengan isu integriti.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu, Muhyiddin juga  dibebani dengan isu Jana Wibawa, dakwaan terhadap menantunya serta perlu memikul kekalahan teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Selain itu, Muhyiddin juga akan didakwa atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan hari ini.

“Muhyiddin sepatutnya letak jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional. Tidak payahlah guna alasan bahawa dia belum dihukum bersalah.

“Ini berkaitan integriti. Dia didakwa rasuah kerana isu Jana Wibawa. Hari ini pula dia didakwa kerana isu 3R. Menantunya belum menyerah diri dan Bersatu kalah teruk di Nenggiri,” kata Mohd. Puad.

Beliau berkata, Muhyiddin wajar mencontohi tindakan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan jawatan selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Muhyiddin patut contohi Najib. Dia letak jawatan bila BN kalah PRU ke-14. Ketika itu dia belum didakwa pun. Tetapi kenapa dengan baggage yang berat masih mahu kekal jawatan. Pas bisu kerana masih keliru siapa daja,” katanya.

Muhyiddin akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang hari ini, susulan ceramahnya berkait raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.

Polis sebelum ini menyiasat laporan dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, kertas siasatan berhubung ucapan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh isu berkait 3R sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata setakat ini polis sudah mengambil keterangan 66 saksi bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette