GEORGE TOWN – Beberapa jalan sekitar pusat bandar akan ditutup sementara pada Khamis dan Sabtu ini bagi acara raptai perbarisan dan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri Pulau Pinang.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, laluan itu membabitkan persimpangan Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jalan Larut; sebahagian Lebuh King, Lebuh Union dan Lebuh Pantai.

“Selain itu, persimpangan Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Bishop; sebahagian Lebuh Penang iaitu antara Lebuh Light dan Lebuh Union serta persimpangan Gat Lebuh Chulia dan Pengkalan Weld juga akan ditutup.

“Penutupan kesemua jalan itu bermula jam 2 pagi hingga 1 tengah hari atau sehingga selesai acara pada 29 dan 31 Ogos ini,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, MBPP menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan mematuhi arahan pengawal lalu lintas bertugas pada hari yang ditetapkan. – MalaysiaGazette