KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan tidak bersikap dwi standard dengan mengatakan pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dibuat secara tergesa-gesa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa apabila mendapati Muhyiddin melakukan kesalahan selepas siasatan lengkap dijalankan.
“Kalau dia orang tergesa-gesa, kalau kena kat saya, oh itu satu siasatan yang sangat komprehensif.
“Ini realiti, bila dia buat salah, siasatan telah dilakukan, Peguam Negara mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa,” katanya kepada pemberita, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa siasatan polis berhubung bekas Perdana Menteri itu kerana menyentuh 3R telah dilakukan secara tergesa-gesa.
Ahmad Faizal berkata, pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.
Katanya, ini kerana tindakan menyatakan fakta, terutama berkaitan Perlembagaan Persekutuan, tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengingatkan Bersatu bahawa pendakwaan 47 kes rasuah yang dihadapinya sebelum ini dilakukan sebelum siasatan dilengkapkan.
“Dulu saya didakwa sebelum siasatan selesai tau. Itu sebab di dalam saya menghadapi pertuduhan itu, amendment dibuat terhadap tuduhan itu.
“Yang (kes) saya, dia kata kerajaan berlaku adil, bila dia kena pendakwaan, kata kerajaan tidak adil, dwi standard, tak payah laa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette