Polis sedang menyiasat kemungkinan penglibatan dua kumpulan kongsi gelap dalam kes pembunuhan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, Jasin malam Ahad lalu sehingga membawa kepada rusuhan di Hospital Jasin.

MELAKA – Polis sedang menyiasat kemungkinan penglibatan dua kumpulan kongsi gelap dalam kes pembunuhan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, Jasin malam Ahad lalu sehingga membawa kepada rusuhan di Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, setakat ini, tiga lelaki berumur antara 20 hingga 35 tahun telah ditangkap sekitar daerah Jasin.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan membunuh.

“Setakat peringkat awal siasatan, punca dan motif pergaduhan yang membawa kepada pembunuhan akibat perselisihan faham sebelum ini.

“Polis juga menyiasat mengenai dakwaan sama ada kes ini ada berkaitan dengan kongsi gelap atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan polis menahan reman suspek keempat kes bunuh seorang lelaki selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di di Taman Rim Baru, malam Ahad lalu.

Kes berkenaan turut tular di media sosial apabila adik mangsa diserang kumpulan itu di Unit Kecemasan Hospital Jasin ketika membawa abangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 21 tahun memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Jasin pada pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah reman.

Majistret Mazana Sinin kemudian membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 September ini mengikut Seksyen 302 KK kerana kesalahan membunuh.

Semalam, tiga suspek berusia 21,22 dan 31 tahun direman sehingga 1 September ini di bawah seksyen sama.

Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan bagi kes itu bagi kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506 KK, Seksyen 148 KK dan Seksyen 427 KK.

Dalam kejadian pukul 8.39 malam Ahad lalu, mangsa yang berusia 24 tahun cuba diselamatkan oleh adiknya dengan membawa lelaki berkenaan ke hospital.

Kedua-dua mereka bagaimanapun dikejar suspek sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin sebelum tular beberapa klip video berkaitan pergaduhan itu sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Ketika cuba melarikan diri dari serangan itu, adik mangsa terlanggar sebuah ambulans hospital namun berjaya memecut kenderaannya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi mendapatkan bantuan serta membuat laporan kejadian.

Mangsa yang ditetak bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Jasin pada 10.15 malam ketika sedang mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette