Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tidak berhasrat untuk menentukan hala tuju UMNO di Sabah selepas menyatakan keperluan untuk UMNO bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebagai seorang bekas aktivis dan ahli UMNO hampir 30 tahun, beliau mempunyai hak bersuara mengenai masa hadapan parti itu di Sabah.

“Saya ingin mengingatkan Jeffrey (Mohd Nor), jangan berlagak sombong, malahan saya juga amat arif dan faham mengenai undang-undang parti.

“Untuk pengetahuan Jeffery, saya bukannya menentukan hala tuju UMNO, sebaliknya hanya menyatakan pandangan yang dibenarkan dari sudut undang-undang.

“Saya juga individu barisan hadapan yang membantu UMNO secara langsung menumbangkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan dalam hampir kesemua PRN di Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Mohd Nor menyatakan bahawa Zulkarnain tidak mempunyai locus standi menentukan hala tuju UMNO di Sabah selepas menggesa parti itu bekerjasama dengan GRS pada PRN17.

Sebelum ini, G57 menggesa UMNO dan GRS mengetepikan perbalahan politik lampau dan seterusnya bekerjasama bagi menghadapi PRN17 Sabah yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Menurut Zulkarnain, saranan beliau itu demi kebaikan UMNO yang diketahui semakin melemah selepas ramai pimpinannya bertindak keluar daripada parti Melayu tersebut apabila kudeta bersama Warisan yang dilancarkan menemui kegagalan.

“Akhirnya kerjasama dengan mana-mana parti di Sabah akan diputuskan melalui mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saranan saya selari dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malahan, serangan saya sebelum ini hanya tertumpu kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pimpinan UMNO yang menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bukannya UMNO itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast