Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masa UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengetepikan perbalahan politik lampau dan seterusnya bekerjsama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tidak mustahil kerjasama itu boleh dijalinkan semula kerana kedua-dua parti itu pernah mengharungi bersama PRN ke-16 Sabah, empat tahun lalu.

“Umum mengetahui di peringkat Persekutuan UMNO dan GRS bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu kerjasama di peringkat negeri tidak akan menimbulkan masalah, malahan kedua-dua parti ini pernah bersama-sama mengharungi PRN16.

“Sebagai bekas aktivitis akar umbi UMNO, saya merasakan masa hadapan rakyat perlu didahulukan kepimpinan UMNO Sabah sambil membelakangkan sejarah lalu dan mengorak langkah ke hadapan demi rakyat dan Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah untuk menentang parti pemerintah, GRS pada PRN17 yang boleh diadakan pada hujung tahun hadapan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu tidak mustahil dan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri tersebut.

Menurut Zulkarnain, walaupun wakil rakyat UMNO berada di blok pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini, wakil parti Melayu itu diberi jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dalam Kabinet negeri.

“Saya juga difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan pandangan agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama dengan GRS dan PH bekerjasama menghadapi PRN17.

“Malahan perbincangan awal usaha itu dikatakan telah pun bermula di peringkat tertinggi ketika ini.

“Ini adalah platform terbaik untuk Sabah, sambil berharap selepas PRN17, masalah utama rakyat seperti jalan berlubang, air, elektrik termasuk tuntutan MA-63 dapat diselesaikan secara tuntas oleh ketiga-tiga pimpinan gabungan parti itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast