Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Pelancaran Gentar Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) Nafas 2024 - 2028 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OGOS 2024

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan (KPKM) sedang mengadakan  perbincangan secara intensif dengan syarikat di China bagi mengeksport durian kampung ke pasaran negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, durian kampung mempunyai potensi besar untuk dibekalkan ke China mengambil kira permintaan rakyat di negara itu yang amat menggalakkan.

“Ia masih (di peringkat perbincangan) dengan syarikat di sana termasuk Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) yang mengendalikan hal import eksport bagi China.

“Saya minta supaya bukan hanya durian premium seperti musang king dan udang merah, tetapi (diperluaskan) kepada durian kampung.

“Mereka (China) sedang kaji (perkara ini) dan minta ia dikategorikan, misalnya durian (kategori) dua, supaya jika ia dipasarkan di sana nanti, harganya mungkin sedikit berbeza,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi(OACS) 2024–2028 atau GENTAR di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Kota Damansara,  di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim; Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

Mohamad berkata, sekiranya permintaan itu diluluskan, durian kampung Malaysia dijangka dapat dibekalkan ke China pada musim durian akan datang.

“Saya sudah bercakap kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan LPP supaya mereka turut memainkan peranan. Kita kutip misalnya durian dari Bukit Gantang. Ia nak sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ambil masa lima jam dan perlu lalui proses pembersihan dan sebagainya.

“(Kita jangka) tak sampai 48 jam, durian segar ini boleh sampai ke China,” katanya yang turut menyasarkan untuk membantu ekonomi usahawan Bumiputera dalam usaha memasarkan produk durian kampung segar ke China. – MalaysiaGazette