Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali rasmi Persidangan Kebangsaan SSM yang dianjurkan secara dalam talian.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mematuhi piawaian antarabangsa seperti ditetapkan Financial Action Task Force (FATF) yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial sebagai asas utama memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, komitmen ini seiring dengan usaha kerajaan yang telah meminda Akta Syarikat 2016 yang telah berkuat kuasa sejak 1 April lalu.

Jelas beliau, kerangka perundangan tersebut memperkenalkan pelbagai perubahan demi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat, serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat.

“Ini menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, dalam masa yang sama, pindaan akta berkenaan melambangkan komitmen KPDN dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama-sama menerajui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi.

Tambah Armizan, perundangan itu juga memberi penekanan kepada pengawasan lebih ketat dan pelaporan terperinci terhadap pemunyaan benefisial.

Selain itu, ia akan mengurangkan risiko penyelewengan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingan lain terhadap integriti sistem perniagaan di Malaysia.

“Pendekatan ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan yang berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global,” katanya lagi.

Katanya, sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif yang tersenarai dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial mereka.

Ini menunjukkan kadar pematuhan sebanyak 55.3 peratus yang merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ketelusan yang lebih tinggi dalam sektor korporat.

“Pencapaian ini menggambarkan komitmen yang semakin mendalam daripada sektor perniagaan untuk memenuhi piawaian ketelusan yang ditetapkan dan menyokong usaha-usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah konsep Malaysia Madani,” ujarnya.

Terdahulu Armizan pada hari ini, merasmikan melancarkan
Persidangan Kebangsaan SSM secara  dalam talian yang dianjurkan dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat.

Dalam masa yang sama, persidangan itu akan turut membincangkan perkembangan terkini dari aspek perundangan yang mempengaruhi perniagaan dalam negara.

Katanya lagi, seramai lebih 3,000 delegasi termasuk
wakil daripada ahli-ahli Corporate Registers Forum dari Singapura, Hong Kong, Tunisia, Republic of Kiribati dan Afrika Selatan menyertai Persidangan kebangsaan SSM. – MalaysiaGazette