JOHOR BAHRU – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Indah di sini menghasilkan Jalur Gemilang gergasi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Bendera Malaysia itu hasil jahitan 70 guru dan kakitangan sekolah yang bersepakat dalam penghasilan bendera bersaiz 20 meter lebar dan 10 meter tinggi.
Guru Besar SK Taman Pelangi Indah, A.Kumaran berkata, usaha itu juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.
“Bendera ini sempurna dan menepati ukuran bendera Malaysia. Ia adalah hasil kerja seluruh tenaga guru-guru dan kakitangan kami yang membuat penggiliran menjahit.
“Idea untuk menghasilkan bendera ini dicetuskan oleh saya sendiri setelah mendapat sokongan dan persetujuan guru-guru, kami mula membeli kain dan mula menjahit sejak 8 Julai hingga 9 Ogos lalu.
“Apabila siap bendera digantung di tingkat tiga bangunan utama sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan hari ini.
Kumaran berkata, proses menjahit mengambil masa 23 hari dan mempunyai tujuh fasa kerja.
Menurutnya, fasa pertama membabitkan proses memotong dan mencantumkan kain warna kuning dan fasa kedua, membuat bulan dan bintang.
Bagi fasa ketiga, ujarnya, melibatkan kerja-kerja memotong dan mencantumkan kain warna biru.
Seterusnya fasa keempat adalah memotong dan mencantumkan kain warna merah dan putih.
Fasa kelima pula mereka menggabungkan kain biru dengan jalur merah dan putih sebelum ke fasa keenam iaitu memotong dan mencantumkan bulan bintang pada kain biru.
“Fasa ketujuh, kami memasukkan tali yang kukuh serta menggantung bendera. Fasa ini juga melibatkan murid-murid pelbagai kaum. Anak murid saya begitu teruja untuk datang ke sekolah setiap hari.
“Objektif pemasangan bendera gergasi ini untuk memupukkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga sekolah terutama murid-murid dan menanam rasa hormat mereka terhadap bendera Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette