Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang memasuki hari kelima disambung semula pagi hari ini. Foto SADIQ SANI, 27 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terjelus tanah di Jalan Masjid India, di sini, memecahkan dinding bahagian atas atas lurang kumbahan (manhole) di lokasi kejadian untuk mendapatkan jarak penglihatan yang lebih baik di dalamnya

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain itu kerja-kerja pencarian melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) turut dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di kawasan sekitar Masjid India digunakan untuk menilai keadaan tanah.

“Sementara kaedah GPR yang sama oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) digunakan di sekitar kawasan lubang benam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada Jumaat lalu, seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam kira-kira lapan meter di jalan Masjid India.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bermula dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid di mana liputan survei ialah 65 meter.

Sementara itu, DBKL berkata, pada hari ini, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangaa diteruskan lagi dengan memfokuskan kerja-kerja pencarian di kawasan end point ( lokasi terakhir) iaitu loji kumbahan yang terletak di Pantai Dalam.

“Hasil daripada pencarian tersebut adalah negatif,” ujarnya.

DBKL berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara sejak jam 7.30 malam ekoran hujan lebat di kawasan kejadian. – MalaysiaGazette