Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bersama isterinya Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anaknya Muhammed Amir dan Muhammed Amin hadir ke mahkamah untuk didakwa berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan kes membabitkan Tun Daim Zainuddin mahu Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan bekas Menteri Kewangan itu menjalani pemeriksaan mental di hospital kerajaan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ia memandangkan pembelaan berkata, anak guamnya telah mengalami beberapa serangan strok sejak awal Januari tahun ini.

“Dalam laporan perubatan oleh Hospital Assunta yang difailkan pembelaan berkata anak guam mengalami strok beberapa kali hingga jatuh dan mengalami keretakan tulang.

“Dalam laporan itu ada menyebut mengenai keadaan kecederaan otak yang dialami oleh tertuduh.

“Daripada itu, kita lihat keadaan tertuduh mungkin tidak dapat hadir perbicaraan, kesihatan mentalnya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Kata Wan Shaharuddin, Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah boleh digunakan untuk menilai sama ada Daim layak dibicarakan atau sebaliknya.

Namun peguam yang mewakili Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid, Nizamuddin Hamid membantah permohonan pendakwaan itu.

Kata Nizamuddin, anak guamnya berumur 86 tahun dan sememangnya mempunyai isu kesihatan secara fizikal namun bukan secara mental.

“Jika rujuk dalam laporan perubatan, kita sebut kesan fizikal dan bukan kesan pada tahap mental. Pendakwaan perlu ambil kita faktor usia juga.

“Anak guam kami mampu untuk memahami pertuduhan yang hadapinya dan memahami proses yang sedang berjalan ini,” hujahnya.

Dalam pada itu, Azura menolak permohonan Daim yang mahu kes gagal mengisytihar harta itu didengar hakim Mahkamah Sesyen lain.

Hakim memutuskan demikian kerana pemohon gagal membuktikan kemungkinan berlaku berat sebelah dalam perbicaraan itu.

Sebutan kes ditetapkan 17 Oktober depan dengan keputusan permohonan pendakwaan itu.

Daim sedang berdepan dakwaan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.

Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu. -MalaysiaGazette