Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching, Sarawak kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.

Sumber memberitahu, suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sarawak kira-kira jam 6.20 petang bagi dirakamkan keterangan untuk membantu siasatan lanjut.

“Suspek dipercayai telah menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu.

“Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek tersebut.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Jelas beliau, suspek bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette