KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal negara Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur kerana diberi jodoh yang panjang bersama suaminya selama 18 tahun.
Menerusi Facebook, Siti Nurhaliza, 46, turut berkongsi gambar bersama Datuk Seri Khalid Jiwa, 66, atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang jarang dipaparkan bersama di media sosial.
“Bukan selalu gambar berdua, khas sempena ulangtahun ke-18 perkahwinan kami,” tulisnya.
Siti Nurhaliza dan Datuk K bernikah pada 21 Ogos 2006.
Selepas lebih sedekad, Siti akhirnya menimang cahaya mata sulung bernama Siti Aafiyah menggunakan kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Empat tahun kemudian, Siti melahirkan anak keduanya iaitu Muhammad Afwa pada Ogos 2020 menggunakan kaedah sama.
Menerusi InstaStory di Instagramnya pula, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berharap diberikan kesihatan dan usia yang panjang agar dapat menyaksikan kedua-duan anaknya itu ke jenjang pelamin.
Naluri itu muncul semasa hadir menyaksikan istiadat persandingan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Pahang kelmarin.
Pada masa sama, pelantun lagu Nadi itu turut mendoakan agar anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa dipertemukan dengan jodoh yang baik.
“Semoga dipertemukan jodoh yang baik. Amin, Ya Rabb,” tuturnya ringkas.
Kehadiran Siti ke istiadat persandingan diraja bukan sekadar sebagai tetamu tetapi sempat mempersembahkan beberapa lagu seperti Dengarkanlah (nyanyian asal Dimansyah Laitupa), Bukan Cinta Biasa dan Endless Love berduet bersama pengacara majlis, Hardy Arbi. – MalaysiaGazette