KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bukan sahaja dibentang ke Parlimen bahkan akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, penubuhan suruhanjaya membela nasib 3.15 juta pekerja Gig Ekonomi itu merupakan salah satu keutamaannya dan mahu diwujudkan secepat mungkin.
“Kita sangat komited untuk melaksanakannya. Menteri Sumber Manusia baharu (Steven Sim Chee Keong) dan Pakatan Harapan (PH) sangat komited.
“Saya sokong beliau dengan kuat sekali untuk menterjemahkan suruhanjaya ini akan diimplementasikan pada kadar secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024.
Turut hadir Steven Sim dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia kini proaktif ke arah penubuhan Akta Pekerja Gig yang berfokuskan kepada p-hailing dan e-hailing.
Jelasnya, akta baharu ini dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Ini membuktikan komitmen Malaysia untuk melindungi hak pekerja gig dengan menekankan definisi pekerja gig, pendapatan, mekanisme aduan dan perlindungan sosial.
“Mereka akan diberikan pilihan penjagaan kesihatan dan insurans berpatutan melalui skim keselamatan sosial komprehensif yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Ia meliputi lanjutan faedah hilang upaya dan pengangguran akibat kehilangan pendapatan,” katanya.
Katanya lagi, data sehingga Ogos 2024 menunjukkan sebanyak 25.1 peratus atau 3.15 juta dari 12.56 juta tenaga kerja Malaysia terdiri daripada pekerja sendiri termasuk kira-kira 1.5 juta pekerja bebas.
Namun, katanya, hanya 21.58 peratus atau 679,830 individu bekerja sendiri mempunyai perlindungan PERKESO yang aktif, dengan 32.78 peratus (222,876) adalah pekerja gig.
“Angka ini jelas menzahirkan jurang yang ketara dalam perlindungan sosial untuk sebahagian besar tenaga kerja kita yang sentiasa berubah.
“Ia sekali gus memperlihatkan keperluan mendesak untuk liputan perlindungan lebih luas dan penyelesaian disesuaikan untuk ekonomi gig,” katanya lagi. – MalaysiaGazette