Wan Azharuddin.

SUNGAI PETANI – Tiga suspek yang dipercayai membunuh seorang pekerja cuci kereta di Bedong di sini pada 15 Ogos lalu, akan dituduh di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail memaklumkan ketiga-tiga suspek berusia 27, 31 dan 36 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

“Kesemua mereka berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Pekerja cuci kereta maut, rakan parah ditetak lima lelaki

MalaysiaGazette pada 16 Ogos lalu melaporkan seorang pekerja cuci kereta maut manakala rakannya yang juga pengawal keselamatan cedera parah dipercayai ditetak sekumpulan lelaki di dua lokasi berasingan di Bedong di sini.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh rakan dikenali sebelum mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia susulan kecederaan parah pada anggota badan akibat ditetak.

Susulan itu, pihak polis menahan sembilan individu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette