Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara menegur bekas rakan sekerja berkaitan masalah disiplin dan melaporkan kehilangan kabinet asrama, seorang lelaki cedera sehingga tidak sedarkan diri disyaki dibelasah suspek.

Bagaimanapun, suspek bersama dua lagi rakan sejenayah yang disyaki bersubahat dalam perbuatan itu akhirnya berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada 24 Ogos lalu lebih kurang 11.16 malam, pihaknya menerima aduan daripada pengadu seorang pengarah syarikat yang memaklumkan mengenai insiden tersebut  di rumah kedai Jalan Ampang Utama dekat sini.

Katanya, pengadu menyatakan pekerja syarikatnya dipukul di bahagian tangan dan kepala sehingga tidak sedarkan diri di asrama pekerja oleh bekas pekerja.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang dan bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Ampang Jaya telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun dan membuat rampasan di Bandar Bukit Puchong,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Azam, bertindak atas maklumat susulan pada hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota polis Ampang Jaya turut berjaya membuat tangkapan ke atas dua lagi lelaki berumur 24 dan 16 tahun di Taman Putra Perdana, Puchong.

Semakan lanjut polis mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes dadah.

“Manakala suspek kedua mempunyai 10 rekod melibatkan kes dadah disusuli suspek ketiga mempunyai dua rekod lampau kes yang sama.

“Suspek pertama dan kedua telah ditahan reman selama seminggu manakala suspek ketiga direman sehari membantu siasatan dan kesemua mereka turut disahkan positif dadah.

“Motif kejadian adalah disebabkan suspek pertama yang juga bekas pekerja tidak berpuas hati terhadap mangsa yang sering memberikan teguran disiplin kepadanya dan telah melaporkan kehilangan kabinet di dalam asrama kepada pengurusan syarikat manakala kehadiran suspek kedua bagi membantu rancangan suspek pertama serta turut serta memukul mangsa,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan cedera parah dengan senjata.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun tahun dan dengan denda atau sebat.- MalaysiaGazette